Wednesday, 19 September 2018

PENGURUSAN MASA


  
Adakah masa yang diperuntukkan untuk anda tidak cukup? Adakah anda rasa kerja anda terlalu banyak hingga mustahil untuk menyiapkan semua kerja tersebut? Adakah anda ada terlalu banyak masa hingga anda tidak tahu apa yang patut anda lakukan dalam masa yang terluang itu? Pengurusan masa merupakan kemampuan untuk merancang dan mengawal penggunaan masa dalam seharian dengan cara yang efektif untuk mencapai objektif kita. Pengurusan masa yang tidak baik akan menyebabkan adanya penangguhan dalam membuat aktiviti yang dirancang. Oleh itu, kita haruslah menguruskan masa dengan baik.
Kita seharusnya merancang jadual harian. Jadual harian adalah penting kerana kehidupan kita menuntut kita meluangkan masa untuk bersama diri sendiri, keluarga dan juga untuk Tuhan. Pengurusan masa bererti pengurusan kehidupan harian kita. Pengurusan masa  yang cekap bermakna kita berjaya menguruskan hidup kita. Dengan itu,masa yang diperuntukkan akan mencukupi untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Seterusnya kita boleh menetapkan had masa untuk setiap tugasan. Kita seharusnya menyelesaikan tugasan yang sedang dilakukan dahulu sebelum membuat tugasan. Sentiasa periksa jadual sebelum memulakan tugas yang baru. Sentiasa tanya diri sendiri, bilakah tugasan yang sedang dilakukan ini boleh selesai? Bilakah ianya perlu diselesaikan. Jika kita menyiapkan tugasan lebih awal, kita akan mempunyai masa untuk memeriksa tugasan tersebut.  Ini akan memastikan tugasan yang dibuat berkualiti. Ini juga akan membantu kita untuk lebih fokus dalam menyiapkan tugasan yang kita perlu lakukan.
Kita juga boleh belajar untuk berkata “TIDAK”. Belajarlah menolak dengan menggunakan kebijaksanaan tetapi tegas terhadap setiap permintaan yang bukan sasaran anda.  Kadang-kadang, apabila kita berani mengatakan tidak kepada ajakkan kawan-kawan, atau kepada perkara-perkara yang tidak memberikan kesan besar kepada kita, kita boleh gunakan masa tersebut untuk perkara yang lebih memberikan manfaat kepada kita.
Teknik 15 minit lebih awal juga boleh diaplikasikan untuk pengurusan masa yang baik. Contohnya, kita boleh menggunakan telefon bimbit sebagai penjaga masa kita. Kita boleh menggunakan ‘reminder’ untuk memberi peringatan kepada kita tentang jadual dan waktu yang tepat.  Sesetengah orang menggunakan kaedah menetapkan waktu 15 minit lebih awal dari waktu sebenarnya. Ini membolehkan kita lebih berdisiplin dan mengelakkan diri daripada terlambat.
Seterusnya, kita akan memberi lebih tumpuan dalam melakukan kerja dalam waktu yang diperuntukkan sekiranya kita fokus kepada sesuatu kerja. Untuk membantu kita fokus, kita boleh kurangkan gangguan di sekitar kita.  Contohnya, kita boleh ‘silent’ kan telefon bimbit, matikan notifikasi media sosial, jauhkan diri dari televisyen, YouTube dan lain-lain yang boleh mengalih perhatian kita dari terus fokus.
 Masa itu bergerak sangat pantas. Oleh itu, janganlah kita terpedaya dengan masa. Tanpa kita sedari, hari sudah menjelang petang sedangkan banyak lagi perkara yang kita tidak lakukan. Ramai orang mudah terpedaya dengan masa dan mula menggunakan masa sebagai alasan. “Releks la, baru pukul 9 pagi.”  “Kenapa nak cepat-cepat, ini kan waktu rehat”. Dengan asyik melengah-lengahkan masa dan membiarkan diri terpedaya dengan masa yang ada, kita akan kehilangan masa tersebut.
Orang yang berjaya dalam hidup sangat menghargai masa.  Tujuan mereka kaya dan berjaya ialah supaya mereka ada lebih banyak masa untuk diluangkan dengan Allah swt, dengan diri sendiri dan keluarga. Anda bagaimana?







Oleh: Nor Atiqa Syafira Binti Omar {PPISMP BM(SJKC-JUN 2018)





No comments:

Post a Comment

Perancangan Jadual Belajar

Pelajar yang bercita-cita tinggi untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kebiasaannya bijak dalam mengagih dan menguruskan masa. Kega...